Oleh Afiq Safarizul

editor@dailytv.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Bilitari Atresia Malaysia (BAMA) terus peka dalam menyebarkan maklumat mengenai kesihatan hati terhadap orang ramai.

Berjaya membantu ramai ibu bapa, kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami masalah kerosakan hati, penganjuran seminar kesihatan mengenai pemindahan hati diharap dapat meningkatkan kesedaran tentang penyakit berkenaan.

Disamping itu, pada seminar yang dianjurkan baru-baru ini turut dimaklumkan pilihan rawatan yang sedia ada.

Malah mereka turut menggesa kerajaan menyediakan peruntukkan kewangan kepada pesakit yang akan mengambil ubat sepanjang hayat.

Presiden BAMA, Mudzaffar Shah Ali berkata, pihaknya terkilan apabila ada ibu bapa yang menunggu dan mengambil masa lama sebelum membuat keputusan melakukan pemindahan hati terhadap anak mereka.

“Tidak ramai yang menyedari bahawa sebagai penderma organ, tempoh pemulihan mereka adalah pantas dan mereka mampu untuk kembali melakukan kerja seperti biasa dalam tempoh tiga minggu, manakala organ mereka akan membesar semula kepada saiz asalnya dalam tempoh beberapa bulan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 7 daripada 10 bayi yang dilahirkan dengan masalah kerosakan hati akan mati kerana kekurangan kemudahan untuk merawat mereka, manakala ibu bapa pula kurang peka dengan kemudahan rawatan yang disediakan di luar negara.

Hospital Indraprastha Apollo di New Delhi, India, telah mula memberikan penjagaan dan rawatan pakar kepada empat orang pesakit dari Malaysia yang menghidap penyakit hati peringkat akhir.

Seorang bayi berusia setahun baru-baru ini telah menjalani prosedur pemindahan hati dan berjaya diselamatkan, selepas mengalami sirosis hati akibat daripada pembedahan Kasai yang tidak berjaya sejurus selepas kelahirannya.

Seorang lagi bayi berusia 8 bulan, juga memerlukan pemindahan hati selepas didiagnosis penyakit Biliari Atresia.

Kedua-dua bayi berkenaan pada awalnya dirawat di Malaysia, namun selepas keadaan kesihatan mereka semakin merosot, mereka diterbangkan ke India dan dimasukkan ke Hospital Indraprasatha Apollo.

Perunding Kanan Pemindahan Hati Hospital Indraprastha Apollo, Dr Neerav Goyal berkata, Hospital Apollo sentiasa berada di hadapan dalam memastikan penjagaan kepada pesakit mereka yang memerlukan walaupun terdapat kekangan seperti sempadan geografi.

“Pesakit pemindahan hati kanak-kanak secara amnya mempunyai kualiti hidup yang sangat baik selepas pemindahan hati mereka. Mereka perlu menggunakan imunosupresan ejen sepanjang hayat mereka tetapi pada dos yang dikurangkan tahun demi tahun.

“Hati adalah satu-satunya organ yang boleh menjana semula selepas dipindahkan. Hati boleh dijana semula kepada 80 peratus selepas tiga minggu dan lebih 90 peratus dalam tempoh setahun.

“Oleh itu, selepas pemindahan hati mereka dilakukan, kita mengharapkan mereka mendapat kehidupan yang lebih berkualiti tinggi,” katanya.

Hospital Indraprastha Apollo adalah sebuah hospital bertauliah JCI pertama di India yang mendapat usaha sama antara Kerajaan Delhi dan Apollo Hospitals Enterprise Limited.

Ditubuhkan pada Julai 1996, ia adalah hospital penjagaan tertiari super-kepakaran ketiga yang ditubuhkan oleh Kumpulan Hospital Apollo.

Berkeluasan 15 ekar, ia menempatkan 57 kepakaran dengan lebih 300 pakar dan lebih 700 katil, 19 dewan bedah, 138 katil ICU, farmasi 24 jam, makmal bertauliah NABL, perkhidmatan kecemasan 24 jam dan perkhidmatan ambulans udara aktif.

Hospital ini mempunyai program utama dalam pemindahan buah pinggang. Pemindahan hati bagi orang dewasa yang pertama berjaya dilakukan di Hospital Indraprastha Apollo ini.

Berada di barisan hadapan dalam teknologi perubatan dan kepakaran, ia menyediakan rangkaian lengkap kemudahan diagnostik, perubatan dan pembedahan terkini untuk penjagaan pesakitnya.

Hospital ini telah memperkenalkan teknologi pengimejan yang paling canggih ke India dengan pengenalan daripada 64 slice CT dan 3 Tesla MRI, Novalis Tx dan PET Suite bersepadu.

Hospital ini telah disenaraikan secara konsisten di antara 10 hospital terbaik di India oleh tinjauan The Week untuk beberapa tahun yang lalu.