KELAB Manchester United sahkan Pemain Portugal, Cristiano Ronaldo akan meninggalkan kelab itu berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan itu susulan tindakan Ronaldo mengkritik kelab berkenaan dalam satu temu ramah ekslusif dan kenyataan beliau tidak lagi menghormati pengurus Eric ten Hag.

Ini adalah rentetan ketegangan antara Ronaldo dengan kelab berkenaan. Kelab berkenaan dan Ronaldo juga mengakui pengunduran ini dipersetujui bersama.

Dalam satu kenyataan, Manchester United mengucapkan terima kasih kepada Ronaldo atas khidmatnya selama dua musim.

Dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), United kini di tangga kelima, di bawah kendalian Ten Hag.

Musim EPL kini berehat bagi memberi laluan kepada Piala Dunia 2022 di Qatar.

Ronaldo, yang menjaringkan 145 gol dalam 346 penampilan bersama United, meninggalkan Juventus dan kembali ke Old Trafford pada Ogos 2021, 11 tahun selepas berpindah ke Real Madrid.

Kontrak 500,000 pound seminggu dengan United hanya berbaki tujuh bulan.

Ini bermakna pengunduran dari United membolehkan Ronaldo meterai kontrak baharu dengan kelab lain, sebaik sahaja jendela perpindahan dibuka pada bulan Januari depan.

Sementara itu, Ronaldo dalam kenyataan rasmi memaklumkan sudah tiba masanya mencari cabaran baharu.

Ronaldo tidak beraksi untuk United atas masalah kesihatan yang tidak dinyatakan.

Kali terakhir beliau beraksi adalah ketika menundukkan Aston Villa 3-1, pada 6 November lalu.

Ronaldo digugurkan dari aksi menentang Chelsea selepas enggan disenaraikan sebagai pemain gantian ketika aksi Tottenham Hotspur tiga hari sebelumnya.

-Awani