Oleh Syanty Octavia Amry

syanty@fm-media.com.my

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bakal menganjurkan program usahawan Unicorn bagi menggalakkan lebih ramai usahawan Melayu aktif dan menyertai persatuan itu.

Pengerusi Dewan Muda DPMM, Hisham Abdul Hamid berkata, penganjuran program itu juga untuk membantu mempromosikan perniagaan yang diusahakan oleh peserta.

“Program Unicorn bertujuan menarik lebih ramai lagi ahli perniagaan dikalangan Melayu untuk sama-sama menyertai kami disamping berkongsi idea dan pengalaman melalui perniagaan yang diusahakan masing-masing.

“Menerusi program ini kami berhasrat melahirkan seorang Unicorn ushawan muda pada setiap tahun di mana mereka akan menjadi sumber rujukan oleh usahawan lain,” katanya pada satu temubual yang diadakan baru-baru ini.

Hisham berkata, beberapa proses pemilihan dan penilaian akan dilakukan di mana seramai 100 ahli akan dipilih untuk menyertai program berkenaan.

“Daripada jumlah 100 usahawan itu, seramai 10 orang akan menjadi finalis akhir dan hanya seorang sahaja yang dinobatkan sebagai juara.

“Juara akan diberi pelbagai peluang mempromosikan produk jualan mereka di televisyen dan media sosial yang terbabit.

“Secara tidak langsung mereka juga mempunyai peranan membantu mempromosikan DPMM kepada lebih ramai lagi usahawan Melayu,” katanya.

Program yang dijangka berlangsung awal tahun depan itu juga dalam usaha mengenal pasti ahli dengan simpanan data yang lebih bersistem.

“Kami berharap dengan penganjuran Unicorn dapat memberi pengenalan dan pendedahan kepada lebih banyak usahawan yang datang dalam pelbagai jenis perniagaan mengenai DPMM.

“Kami juga turut menyasarkan golongan pelajar dan mahasiswa untuk menyertai DPMM supaya timbul minat daripada awal untuk berniaga dengan sertai ahli kelab terlebih dahulu seblum menjadi ahli dewan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hisham berharap, penganjuran program mereka dapat meningkatkan lagi perniagaan usahawan Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kami berusaha membantu mengembangkan perniagaan usahawan ke peringkat makro dan global seterusnya menjadi Unicorn.

“Menerusi rangkaian kerjasama yang kami ada, Insya-Allah kami dapat mengetengahkan perniagaan usahawan ke luar negara dan antarabangsa.