Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew menerima anugerah sebagai Duta Muhibbah oleh kerajaan Palestin ketika melakukan misi ke negara berkenaan, baru-baru ini.

Perkara itu dikongsi oleh beliau menerusi laman Facebook miliknya.

Ebit Lew meluahkan rasa terharu dan syukur atas penghargaan yang diberikan.

“Terharu, sebak dan syukur rasa bila dianugerahkan sebagai Duta Muhibbah Palestin / Palestine Goodwill Ambassador.

“Saya cuma buat sedikit usaha berbanding ramai orang. Kami dijemput mesyuarat bersama Menteri dan Timbalan Menteri dari Kementerian Luar Palestin, Kementerian Pembangunan Palestin, Kementerian Kebudayaan dan Belia.

“Mereka menyambut dan melayan dengan sangat baik. Terharu rasa. Allahuakbar. Kita cuma orang kecil dan bukan sesiapa pun. Cuma niat nak menolong sahaja,” tulisnya.

Ebit memaklumkan, semasa pertemuannya dengan wakil kerajaan Palestin itu, mereka turut berbincang untuk mengadakan program di Palestin pada masa akan datang.

“Saya bersetuju bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk projek ‘Cultural Exhibition of Heroism and Sacrifice’.

“Demi maslahat anak muda remaja di sana. Identiti dan tanah mereka diambil. Berapa banyak terkorban. Ada berapa banyak keluarga sudah tiada keturunan mereka. Semuanya syahid.

“Berapa banyak bangunan diletupkan. Anak kecil terkorban. Jadi, kami bina satu tempat untuk mengingat jati diri mereka dan semua yang berkorban,” katanya lagi.