BALI: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyatakan kesediaan negara itu menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036 di Ibu Kota Nusantara (IKN).

Pengumuman itu disampaikan Jokowi dalam kenyataan yang dikeluarkan di Bali, hari ini.

“Dalam kesempatan ini, saya menyampaikan kesediaan dan kesiapan Indonesia sebagai tuan rumah Olimpik 2036 di Ibu Kota Nusantara,” kata Jokowi.

Media tempatan melaporkan, sebagai Ketua G20 2022, Jokowi bersama pemimpin G20 menekankan pentingnya olahraga dalam kehidupan seharian selain berupaya menyatukan masyarakat dunia.

Untuk edisi akan datang, kejohanan sukan antarabangsa Olimpik dan Paralimpik akan diadakan di Paris, Perancis pada 2024.

Pentadbiran Jokowi akan memindahkan ibu kota negara itu dari Jakarta ke Nusantara yang terletak di Kalimantan Timur.

Pembinaan IKN dijangka mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun untuk disiapkan sejajar dengan Visi Indonesia 2045.

-Agensi