Lebih sepuluh rumah di Kampung Keniogan, Beluran, Sabah, rosak teruk akibat dipukul ribut, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, angin kencang dan hujan lebat turut menyebabkan tiang elektrik di kampung terbabit tumbang.

Difahamkan, fenomena belalai air juga berlaku ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, kejadian angin kencang merosakkan bumbung zink rumah mangsa.

“Terdapat penduduk kampung yang melaporkan rumah mereka mengalami kerosakan sehingga 50 peratus terutama pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin.

“Pada masa sama, bekalan elektrik keseluruhan kampung juga terputus akibat tiang elektik yang tumbang.

“Selain itu terdapat juga pokok tumbang yang mengakibatkan papan tanda sekolah kampung berkenaan rosak,” katanya. Kasim berkata, setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.