Oleh Syanty Octavia Amry

syanty@fm-media.com.my

Beberapa hari ini kecoh mengenai kisah rumah tangga pasangan selebriti popular Indonesia, Rizky Billar dan Lesti Kejora yang dikatakan bergolak.

Ini kerana Lesti dikatakan telah membuat laporan polis terhadap Rizky.

Difahamkan laporan itu mengenai Rizky yang telah memukul, mencekik dan menghempas Lesti hingga jatuh ke lantai.

Menurut laporan berita, Rizky melakukan kekerasan itu selepas Lesti mendapat tahu dia berlaku curang.

Kejadian dikatakan berlaku pada Rabu lalu berikutan Rizky gagal mengawal emosi apabila Lesti meminta suaminya menghantar dia pulang ke rumah orang tua.

Aktor berusia 27 tahun itu dilaporkan bertindak menolak Lesti sehingga tercampak ke atas katil sebelum mencekik leher lalu menyebabkan dia terjatuh ke lantai dan perkara itu dilakukan berulang kali ke atas Lesti.

Pada hari sama Lesti sekali lagi menjadi mangsa penderaan rumah tangga apabila pada jam 10 malam, Rizky dikatakan cuba menarik tangan Lesti ke arah bilik mandi sebelum melemparnya ke lantai. Tindakan itu juga dilakukan berulang kali oleh Rizky.

Berikutan itu, Lesti mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan leher serta tubuhnya berasa sakit.

Semalam, pasangan berkenaan memenangi Anugerah Best Couple pada majlis Anugerah Infotainment Awards 2022.

Terdahulu, pasangan ini pernah tular dan menjadi bualan selepas majlis pertunangan gah mereka disiarkan selama enam jam di kaca televisyen.

Malah, mereka juga tersenarai di antara selebriti yang menerima mas kahwin paling mahal iaitu USD72,000 (RM300,000).