Oleh Syanty Octavia Amry

syanty@fm-media.com.my

KUALA LUMPUR: Dalam usaha menghargai dan meraikan seni budaya dan nilai tradisi Malaysia melalui fesyen, FM Group dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Malaya (PUM) bakal menganjurkan festival ‘Precious of Malaysia’ 2022.

Bakal berlangsung selama tujuh hari, festival itu akan diadakan di Universiti Malaya pada 5 hingga 11 Disember depan.

Presiden ‘Precious of Malaysia’, Farel Mikhail berkata, pihaknya percaya festival in akan melambangkan identiti Malaysia, semuanya dalam satu acara.

“Kami bukan sahaja berharap untuk memainkan peranan dalam memelihara dan memaparkan seni, budaya dan warisan kita kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa, malah kami berharap dapat memacu individu-individu yang minat tentang fesyen.

“Di sini mereka dapat mengejar impian dan menjadikannya sebagai kerjaya dengan menyediakan pendidikan yang sewajarnya untuk mencapai aspirasi mereka,” katanya.

Pada festival itu turut diadakan pertandingan rekaan, fesyen Cultural Fashion Week yang akan melengkapkan pelajar universiti dengan asas untuk menghasilkan jenama fesyen mereka sendiri.

Festival berkenaan turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, ‘Festival ‘Precious of Malaysia’ 2022 itu akan menjadi contoh terbaik sebagai tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk menghayati dan menghargai kepelbagaian budaya Malaysia yang terkenal sejak 600 tahun dahulu di mana semuanya di bawah satu acara.

“Penganjurannya di Universiti Malaya bukan sahaja memaparkan keunikan tempat bersejarah di Kuala Lumpur, tetapi juga mengingatkan dan mendidik masyarakat tentang kepentingan memelihara budaya dan warisan kita untuk generasi akan datang,” katanya.

Festival ‘Precious of Malaysia’ 2022 diharap menjadi platform kepada pereka fesyen tempatan menunjukkan bakat dan memaparkan rekaan terbaik mereka dalam menghasilkan busana tradisional yang pasti akan mengagumkan pengunjung.

Pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang festival berlangsung antaranya pertunjukkan fesyen kebudayaan oleh pereka tempatan, aktiviti-aktiviti karnival & ‘food truck’, pameran tekstil oleh Muzium Tekstil Negara, persembahan kebudayaan, gerai-gerai jualan dan banyak lagi.