Oleh Syanty Octavia Amry

syanty@fm-media.com.my

KUALA LUMPUR: Pengarah filem, Azhari Zain meninggal dunia pada jam 12.05 tengah malam tadi akibat angin ahmar dirumahnya di Sunway Alam Suria, Shah Alam.

Azhari yang dilahirkan di Johor menghembuskan nafas terakhir pada usia 50 tahun selepas sembilan bulan terlantar akibat penyakit berkenaan.

Allahyarham memulakan kerjaya seninya pada 2004 dan pernah menjadi penulis dalam banyak projek filem antaranya Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Duyung.

Selain itu, arwah juga pernah mengarahkan filem Jin Notti, Santau, Zoo, Hantu Dalam Botol Kicap dan Mantra.

Allahyarham juga antara Pengarah Lakon Layar yang sangat berkarisma dalam kebanyakkan filem-filem arahan Prof Datuk Abdul Razak Mohaideen.

Arwah juga adalah pensyarah di UiTM Puncak Perdana dengan jawatan terakhirnya adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Filem, Teater Dan Animasi Universiti Tekonologi MARA (UiTM), Puncak Perdana.

Azhari meninggalkan seorang isteri, Wahizatul Nureen Azmi dan tiga orang anak.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Paip, Meru Klang pagi ini.