Oleh Syanty Octavia Amry

syanty@fm-media.com.my

KUALA LUMPUR: Bagaikan sudah lama dinanti, kemunculan penyanyi cantik dari Indonesia, Raisa Andriana di pentas dewan Zepp, KL bagi menjayakan Konsert Raisa Live in Malaysia menerima jeritan dan sorakan daripada peminat setianya.

Dibawakan oleh Hitman Solutions, Raisa berjaya menghiburkan kira-kira 2,500 penonton yang memenuhi seluruh dewan, malah Raisa juga bijak mengawal suasana dengan menjadi ‘story-teller’ sebelum mempersembahkan lagu-lagu nyanyiannya.

Mempersembahkan lebih 20 lagu, antara lagu-lagu yang dinyanyikan ialah Bahasa Kalbu, Percayalah, Kali Kedua dan Mantan Terindah serta banyak lagi.

Lebih 12 tahun berada dalam industri seni, penyanyi berusia 32 tahun itu turut berkongsi perasaan teruja melihat ramai peminatnya yang hadir menyaksikan persembahannya pada malam Sabtu lalu.

“Kalian semua mengundi? Saya berdebar sebenarnya, apa pun terima kasih Malaysia, kalian semua comel sangat.

“Saya tunggu 12 tahun untuk malam ini, selepas ini panggil saya lagi dan jangan biarkan saya menunggu lama ya,” katanya kepada penonton.

Meskipun tidak semua peminat di Malaysia mengenali penyanyi ini, nyata ratu pop dan R&B ini mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.

Rasa terbuai dengan himpunan lagu-lagunya yang begitu indah sehingga semua tidak berhenti menari dan menyanyi bersama-sama.

Begitu juga ketika menyanyikan lagu duetnya bersama Afgan, Percayalah penonton saling membantu menyanyikan ‘part’ Afgan.

Berusaha bercakap dalam bahasa Melayu, rata-rata penonton terhibur dan tidak berhenti mengajar Raisa pelbagai ayat dalam bahasa Melayu.

Bagaikan tidak puas dengan persembahannya, ketika berhenti untuk menukar persalinan kedua, semua penonton bersorak mengharapkan Raisa kembali semula ke pentas berikutan menyangka persembahannya sudah berakhir.

Menutup tirai persembahan dengan lagu Kali Kedua, Raisa bagaikan tidak mahu meninggalkan pentas, malah sempat mengambil beberapa telefon bimbit penonton untuk mengambil gambar beramai-ramai.